JAKARTA – Rangka manusia ditemukan di dalam sebuah kereta yang diparkir di sebuah asrama polis di Gresik, wilayah Jawa Timur, lapor portal berita Kompas hari ini.
Ia ditemukan oleh seorang anggota polis kira-kira pukul 1.50 tengah hari (waktu tempatan) selepas dia membuka kunci kereta tersebut untuk mencabut bateri kenderaan yang telah lama diparkir itu.
Ketua polis tempatan, Suwito Saputro berkata, arahan untuk membuka kereta itu diberikan oleh seorang pegawai kanan yang sudah berpindah ke lokasi lain.
Apabila dibuka, anggota polis itu menemukan rangka manusia di tempat duduk kiri bahagian depan kereta sebelum dia membuat laporan berhubung penemuan tersebut.
Suwito berkata, kereta itu telah diparkir selama lima tahun, namun tiada bau mayat di lokasi kejadian.
Polis kemudian melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Ketika ini, asrama polis tersebut dalam keadaan kosong dan tidak berpenghuni. – AGENSI