KUALA LUMPUR – Hujan lebat dan ribut petir petang tadi mengakibatkan kejadian pokok tumbang dan dahan patah di 16 lokasi sekitar ibu negara.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataannya berkata, antara lokasi terlibat adalah Jalan Kinabalu ke Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail ke Jalan Kinabalu dan berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Selain itu, pokok tumbang juga dilaporkan berlaku di hadapan pagar Bank Negara, kelab Taman Perdana Diraja, 7, Jalan Tun Ismail dan Kompleks Wilayah, Jalan Dang Wangi.
“Laporan pokok tumbang turut diterima di hadapan Istana Perak, susur Galleria menghala ke Parlimen, hadapan Wisma Bumi Raya, No. 9, Jalan Tunku, Bukit Tunku dan hadapan Rumah Tan Sri Speaker, Bukit Tunku.
“Kejadian tersebut juga berlaku di Lorong Medan Tunku, Hadapan Transit Gelandangan DBKL, Jalan Tunku, Jalan Semantan 2 dan Jalan Raja Laut, Hadapan Bangunan Mara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar DBKL, tindakan segera diambil dengan empat pasukan operasi, termasuk First Rider, dengan kekuatan seramai 40 petugas dikerahkan kesemua lokasi kejadian.
Tambah kenyataan itu, kerja-kerja pengalihan, pemotongan, dan pembersihan segera dijalankan oleh pasukan yang terlibat.
“DBKL komited dalam memastikan pemulihan dan pembersihan dilakukan dengan pantas bagi mengurangkan risiko bahaya kepada orang awam serta mengelakkan sebarang gangguan kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, angin kencang dan hujan lebat hampir di seluruh negeri sehingga pukul 7 malam.
Antara negeri yang terlibat termasuklah Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan serta Melaka. -KOSMO! ONLINE