PETALING JAYA – Netizen melahirkan rasa kurang senang terhadap kempen kesedaran pembaziran makanan dikenali sebagai ‘Bazir Ramadan’ yang dipercayai diadakan di Pantai Dalam dekat sini semalam kerana memperagakan kostum digantung dengan makanan.
Rata-rata mereka mempersoalkan konsep yang digunakan dalam kempen tersebut kerana makanan yang sepatutnya dihormati diletakkan di bahagian tubuh model termasuk kaki sambil memegang kertas tertulis ‘Bazir’ dan ‘#BazirRamadan’
“Makanan korang boleh buat main-main..jom kecam komen kalau aku salah,” balas @MMHFAyamPenyetCorner.
“Harap makanan yang diperagakan oleh model-model itu bukanlah makanan sebenar,” komen @Hoogen_geun.
Bagaimanapun terdapat juga sebilangan netizen mempertahankan pendekatan kempen tersebut dengan berkata; “Pertikai makanan kat kaki, yang makanan dalam tong sampah macam mana pula?”
Menerusi video dimuat naik di TikTok milik @Anistaqwa, wanita itu menegaskan semua pihak perlu mengelak pembaziran ketika membeli makanan di bazar Ramadan.
“Berpada-padalah ketika membeli makanan di bazar Ramadan untuk elakkan pembaziran berlaku,” tulisnya di ruangan kapsyen. – KOSMO! ONLINE