JOHOR BAHRU – Seorang penganggur dan ibu tunggal mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini secara berasingan atas pertuduhan menyiarkan video Geng 04 dan 36 di TikTok, awal bulan ini.
Tertuduh, R. Elaango, 33, dan Tan Lee Som, 41, masing-masing dikenakan denda RM3,500 dan RM2,000 atau dipenjara dua dan enam bulan, jika gagal membuat bayaran.
Di hadapan Majistret A. Shaarmini, Elaango didakwa menyiarkan dokumen berbentuk video di dalam TikTok miliknya bagi kepentingan bagi sesuatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu Geng 36.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa manakala penganggur itu diwakili peguam Mu’adz Zulkarnain.
Di mahkamah berasingan, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, Lee Sim didakwa menyiarkan dokumen berbentuk video di dalam TikTok miliknya bagi kepentingan bagi sesuatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu Geng 04.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina dan ibu tunggal itu turut menggunakan peguam sama digunakan Elaango.
Peguam Mu’adz yang mewakili kedua-dua tertuduh meminta hukuman yang ringan terhadap tertuduh yang berdepan masalah kewangan.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,500 jika gagal bayar akan dipenjara dua bulan manakala Lee Sim didenda RM2,000 sekiranya gagal bayar penjara enam bulan . -KOSMO! ONLINE