KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) berpeluang untuk menjadi ‘king maker’ kepada perebutan tempat ketiga Liga Super yang kini membabitkan tiga pasukan iaitu Sabah FC, Terengganu FC (TFC) dan Kuching City FC.
Ketiga-tiga pesaing itu akan menentang KDA FC dalam baki perlawanan musim ini di mana Kuching City masih memiliki empat perlawanan, manakala tiga buat Sabah dan TFC.
Kuching City akan terlebih dahulu menentang KDA FC di Stadium Negeri, Kuching malam ini sebelum Sabah dijadualkan bertemu Sang Kenari pada 11 April ini.
Selepas itu barulah TFC akan membuat perhitungan dengan lawan sama pada perlawanan terakhir Liga Super nanti.
Di kem TFC, adalah penting untuk memberi perhatian kepada persiapan sendiri dan barisan pemain perlu bersedia untuk berdepan cuti yang agak pendek bagi sambutan Aidilfitri.
“Tiga perlawanan yang agak mustahak untuk kami, kalau boleh kami mahu dapatkan mata maksimum. Dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi, mungkin hari ini kita di tempat keempat, esok mungkin di tangga ketiga.
“Normal (tidak dapat cuti panjang hari raya) untuk saya sebagai pemain bola sepak kerana ini kerja saya. Hanya teruskan latihan dan saya tidak ada masalah untuk turut serta,” kata bintang sensasi TFC, Safawi Rasid
Sebagai rekod, status naib juara sudah menjadi milik Selangor FC yang mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) buat musim kedua berturut-turut dengan Johor Darul Ta’zim kekal sebagai juara Liga Super.