SEREMBAN – Seramai 39 penumpang dan seorang pemandu sebuah bas ekspres terselamat selepas pengangkutan awam itu terlibat dalam kemalangan Kilometer (KM) 245.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara Rembau, di sini pada awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Pegawai Bomba Kanan II Amer Izham Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 6.02 pagi berhubung kejadian.
“Setiba di lokasi, terdapat 40 orang mangsa termasuk pemandu dilaporkan terlibat dalam kejadian itu terdiri 28 wanita dan 12 lelaki.
“Terdapat enam orang wanita mengalami kecederaan ringan dan telah diberikan rawatan awal oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan bantuan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Dua mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu bas ekspres terbabit mengalami pitam sebelum kenderaan berkenaan terbabas di lokasi kejadian.
Difahamkan, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE