GUA MUSANG – Lebih 200 pemandu yang mengendalikan sebanyak 66 buah bas syarikat perkhidmatan bas ekspres, Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) menjalani ujian saringan air kencing secara berkala bagi memastikan tiada kes penyalahgunaan dadah semasa bertugas.
Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail berkata, pemandu bas bakal berdepan tindakan tegas termasuk dibuang kerja sekiranya dikesan terpengaruh bahan terlarang itu.
Katanya, setakat ini, pihaknya berpuas hati apabila pemandu bas E-Mutiara bebas daripada pengaruh dadah selepas dibuat ujian dijalankan.
“Pemandu bas di laluan Pantai Timur termasuk dari Kelantan juga didapati tidak terlibat dengan kes dadah.
“Ujian saringan air kencing itu dijalankan secara berkala kerana kita memandang serius mengenai perkara ini dan ingin memastikan pemandu bas bebas daripada dadah,” katanya selepas Program Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Hentian Gua Musang kepada 286 penerima yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan GM Station Sdn. Bhd.,Naemah Ya’akob di Masjid Ibrahim, Hentian Gua Musang di sini semalam.
Dalam perkembangan sama, Che Ibrahim memberitahu, pihaknya juga berharap pemandu bas terlibat juga dapat mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan pihak berkuasa menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, langkah itu sebagai usaha mengelakkan kejadian kemalangan yang sekali gus memberi impak kepada nyawa penumpang. – KOSMO! ONLINE