PARIT BUNTAR – Padah menendang isteri dan menghentak anak perempuannya hanya kerana berang dengan tindakan mereka mahu berbuka puasa di rumah mentua, seorang pemandu lori terpaksa akur untuk menyambut Aidilfitri tahun ini di dalam penjara.
Hukuman penjara 12 bulan itu dikenakan ke atas tertuduh, Muhammad Devan Abdullah, 33, selepas bapa kepada lapan anak itu mengaku bersalah bagi dua pertuduhan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya berusia 41 tahun hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan lebam di pipi kiri, sakit di leher dan dada di sebuah rumah di Jalan Abdul Raof, Parit Buntar pada pukul 2.30 petang, 8 Mac 2025.
Tertuduh juga didakwa menyebabkan kecederaan ke atas anak perempuannya yang berusia 10 tahun hingga mengalami lebam di pipi kiri dan kepala di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Bagi dua kesalahan tersebut, pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE