PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) menzahirkan rasa dukacita susulan insiden kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres di Kilometer (KM) 245.5 Lebuh Raya Utara Selatan, pagi tadi.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan maklumat awal, beberapa pegawai Jabatan Kerja Raya juga merupakan sebahagian daripada penumpang bas yang terlibat.
“Saya dimaklumkan, bas ekspres yang membawa kakitangan awam berulang-alik dari Melaka ke Kuala Lumpur itu telah memulakan perjalanan dari Melaka pada pukul 5 pagi sebelum kemalangan berlaku.
“Namun, saya difahamkan mereka yang terlibat selamat dan berada dalam keadaan baik. Saya dan seluruh pasukan KKR berharap semuanya dipermudahkan urusan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seramai 39 penumpang dan seorang pemandu sebuah bas ekspres terselamat selepas pengangkutan awam itu terlibat dalam kemalangan KM 245.5, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara Rembau, awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Pegawai Bomba Kanan II Amer Izham Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 6.02 pagi berhubung kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu bas ekspres terbabit mengalami pitam sebelum kenderaan berkenaan terbabas di lokasi kejadian.
Difahamkan, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE