KUCHING – Kemenangan 3-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Negeri, sebentar tadi menyaksikan Kuching City memintas Terengganu untuk berada di tangga keempat Liga Super.
The Cats kini kekal tanpa kalah dalam tujuh perlawanan berturut-turut dalam kancah Liga Super manakala KDA FC alami hatrik kekalahan hingga menyaksikan kelab dari Utara itu menghuni tangga ketiga tercorot.
Terdahulu, Kuching City yang dihidangkan beberapa peluang terbaik terpaksa menanti sehingga minit ke-44 untuk membuka jaringan menerusi bekas penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri.
Walaupun pengendali pelawat, Victor Andrag melakukan perubahan di babak kedua, tuah nyata lebih berpihak kepada tuan rumah yang hanya memerlukan 13 minit untuk menambah gol kedua, kali ini menerusi Ramadhan Saifullah.
KDA FC yang seakan tidak patah semangat untuk memburu jaringan pertama dipalit kesilapan sendiri pada masa kecederaan, pantas dihukum oleh penyerang import tuan rumah, Jordan Mintah bagi memastikan Kuching City raih kemenangan selesa.
Selepas harungi 21 perlawanan, Kuching City kini berada di tangga keempat dengan 33 mata, satu mata mengatasi Terengganu.
Situasi ini menjadikan perebutan tempat ketiga antara Sabah, Kuching City dan Terengganu makin menarik dimana The Cats kini hanya dipisahkan tiga mata berbanding The Rhinos. – KOSMO! ONLINE