BATU PAHAT – Seorang lelaki ditahan bersama satu kilogram dadah bernilai RM282,530 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Puteri Jaya di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam serbuan pukul 11.30 malam itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 57 tahun.
“Sejumlah ekstasi seberat 1,332.50 gram bernilai RM222,530 dan 1,850 biji pil eramin 5 berharga RM60,000 dirampas membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM282,530.
“Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif methamphetamine dan mempunyai 12 rekod kes dadah dan jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shahrulanuar, pihaknya menyita sebuah kereta berharga RM30,000. Suspek dipercayai aktif sejak Januari lalu dan direman selama tujuh hari sehingga 15 Mac ini.- KOSMO! ONLINE