GEORGE TOWN – Kerajaan negeri menjangka lebih 100 lot tanah di daerah Barat Daya dan Timur Laut akan terlibat dengan jajaran projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Mesyuarat Exco (MMK) Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah meluluskan cadangan untuk mengambil alih tanah di sepanjang jajaran projek LRT Mutiara Pulau Pinang.
“Lebih 100 lot tanah di Barat Daya dan Timur Laut akan diambil alih untuk projek LRT, dan sebarang struktur di atas sebahagian tanah ini akan dirobohkan atau dipindahkan.
“Ini termasuk tanah persendirian dan tanah milik kerajaan negeri antaranya tanah milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Kon Yeow, selepas kelulusan exco negeri mengenai pengambilan tanah itu, lot-lot yang terlibat akan diwartakan dan notis akan dikeluarkan kepada pemilik tanah.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pampasan kepada pemilik tanah, Kon Yeow berkata, jumlah pampasan masih belum diputuskan kerana ia perlu dinilai oleh agensi berkaitan.
Mengenai perkembangan projek LRT, Kon Yeow berkata, ketika ini bengkel pengurusan nilai sedang dijalankan oleh Kementerian Ekonomi, MRT Corporation (MRTC), dan SRS Consortium untuk memuktamadkan reka bentuk serta kos projek. – KOSMO! ONLINE