PETALING JAYA – Sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, Kumpulan AmBank menganjurkan AmBank Fiesta@The Curve dan AmBank Bazar Ramadan@Foodpark, Matic yang menghimpunkan rakyat Malaysia dengan semangat perpaduan dan perayaan.
Ia juga merupakan sebahagian daripada sambutan Ulang Tahun ke-50 AmBank yang bertemakan Malaysia Kita, mencerminkan komitmen mendalam kepada rakyat dan komuniti.
Berlangsung di dua lokasi bandar utama iaitu The Curve, Kota Damansara dan Foodpark, Matic di Jalan Ampang, karnival berkenaan menampilkan lebih 300 vendor, penjual dan penjaja yang menawarkan pelbagai barangan keperluan perayaan.
Antara yang mengambil bahagian ialah rakan kongsi penjenamaan AmBank – Ibupreneur, MySkills Foundation dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia yang tampil menjual hidangan kegemaran perayaan, selain selebriti tempatan yang menjual produk-produk mereka.
Selain itu, AmBank turut menyemarakkan semangat Ramadan dengan tiga bazar di kawasan perbandaran utama, iaitu AmBank Bazar Ramadan Tradisi@Datuk Keramat; AmBank Bazar Ramadan Tradisi@Jalan Padi Mahsuri Bandar Baru Uda, Johor Bahru; dan AmBank Bazar Ramadan Tradisi@Kamunting, Taiping.
Ketua Komunikasi Korporat & Pemasaran Kumpulan, Kumpulan AmBank, Shazman Shahid berkata, pihaknya percaya dalam menerima kepelbagaian yang menjadikan Malaysia unik.
“Karnival-karnival ini adalah lebih daripada sekadar pasar jualan – ia adalah perhimpunan rakyat dari semua lapisan masyarakat, berkumpul untuk berkongsi kegembiraan.
“Melalui acara ini, kami berharap dapat memupuk rasa kebersamaan di samping menyediakan wadah yang bermakna dan berdaya maju untuk usahawan kecil mempamerkan perniagaan mereka dan berkembang maju,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE