MERSING – Seekor gajah mati selepas dilanggar sebuah kereta jenis Toyota di Jalan Kahang-Nitar 2 di sini malam tadi.
Difahamkan, pemandu kereta itu bagaimanapun terselamat meskipun kenderaannya remuk di bahagian hadapan akibat pelanggaran tersebut.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, pihak Perhilitan telah mengambil tindakan ke atas bangkai mamalia tersebut.
“Bagaimanapun setakat ini pemandu kereta masih belum membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Video kejadian kemalangan itu turut tular di Facebook yang memaparkan bangkai gajah di tepi jalan.
Seorang pengguna memaklumkan laluan berkenaan kerap dilalui hidupan liar dan menasihatkan pengguna jalan raya agar tidak memandu laju di kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE