fbpx

Empat sektor utama penggerak ekonomi Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 5.1 peratus pada 2024.

PETALING JAYA – Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih baik sebanyak 5.1 peratus tahun lalu (2023: 3.6 peratus), disokong permintaan dalam negeri yang terus berkembang dan pemulihan eksport, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Pertumbuhan dalam negeri didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang lebih mantap, mencerminkan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, langkah-langkah dasar untuk menyokong isi rumah dan kedudukan kewangan isi rumah yang kukuh.

Menurut Jabatan Perangkaan, ekonomi Malaysia tahun ini dijangka terus kukuh, didorong oleh pasaran buruh yang memberangsangkan, peningkatan eksport dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), serta pelaksanaan inisiatif pelaburan utama.

“Dengan permintaan pengguna yang berdaya tahan, pelaburan strategik dan jaringan antarabangsa, Malaysia berada dalam landasan yang baik untuk prospek ekonomi yang positif pada tahun 2025, walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran luaran,” katanya.

Negara berkembang maju berikutan peningkatan produktiviti dalam empat sektor penting ekonomi, iaitu perkhidmatan, pembuatan, minyak sawit serta minyak dan gas (O&G).

Subsektor kewangan Malaysia antara yang paling stabil di rantau ini.

Perkhidmatan

Sektor perkhidmatan merekodkan jumlah hasil RM2.4 trilion pada 2024, dengan peningkatan sebanyak 6.3 peratus berbanding tahun sebelumnya (2023: RM2.3 trilion). 

Prestasi yang kukuh ini sebahagian besarnya dipacu oleh pemulihan berterusan industri berkaitan pelancongan, disokong oleh ketibaan 25 juta pelancong antarabangsa dan peningkatan aktiviti perjalanan domestik. 

Segmen perdagangan borong & runcit, makanan & minuman serta penginapan kekal sebagai penyumbang utama sektor ini, disumbangkan oleh permintaan pengguna yang berterusan dan peningkatan aktiviti pelancongan.

Ketika Malaysia bergerak ke hadapan, sektor perkhidmatan kekal sebagai tunjang utama pertumbuhan ekonomi yang disokong oleh perbelanjaan pengguna yang kukuh, transformasi digital, dan peningkatan pelaburan dalam infrastruktur serta teknologi. 

Usaha yang berterusan dalam pembangunan pelancongan, inovasi digital, dan pengembangan perniagaan akan menjadi faktor utama dalam mengekalkan momentum positif sektor ini serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab ekonomi serantau.

Industri automotif Malaysia antara yang terbesar di Asia.

Pembuatan

Sektor pembuatan, yang merangkumi subsektor kimia, automotif serta elektrik dan elektronik (E&E), antara penyumbang terbesar kepada ekonomi.

Nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM1.9 trilion tahun lalu, melonjak sebanyak 4.6 peratus berbanding tahun 2023. 

Pada tahun berkenaan, bilangan pekerja bertambah sebanyak 1.0 peratus (2023: 1.7 peratus) untuk merekodkan seramai 2.40 juta orang, manakala gaji & upah meningkat 1.5 peratus (2023: 3.5 peratus) kepada RM99.3 bilion. 

Dengan hampir 30 pengeluar dan lebih 600 pengeluar komponen, industri automotif Malaysia antara yang terbesar di Asia.

Setiap tahun, ia menyumbang kira-kira RM40 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Jenama tempatan Proton dan Perodua menjadi pemain utama dalam pasaran tempatan.

Subsektor kimia pula dijangka menyumbang RM40 bilion kepada KDNK menjelang akhir dekad ini melalui integrasi industri yang dipertingkatkan, daya saing global yang lebih baik, dan pengeluaran mampan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Ogos lepas.

Sementara itu, industri E&E merupakan tulang belakang sektor pembuatan, dan sasaran negara bagi sektor ini adalah untuk mencapai sumbangan berjumlah RM120 bilion kepada KDNK, dengan pendapatan eksport mencecah RM495 bilion menjelang 2025.

Malaysia merupakan pemain utama dalam pasaran E&E di Asia Tenggara, sebagai pemangkin untuk pembangunan industri lain, selain meningkatkan rantaian nilai bekalan, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Malaysia mengeksport produk minyak sawit bernilai RM109.33 bilion pada 2024.

Minyak sawit

Minyak sawit juga merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan KDNK.

Pada 2024, Malaysia merupakan pengeksport minyak dan lemak kedua terbesar dunia, setelah mengeksport sebanyak 16.9 juta tan minyak sawit, yang mewakili 17.2 peratus daripada eksport keseluruhan minyak dan lemak global.

Hasil eksport produk minyak sawit negara tahun lalu berjumlah RM109.33 bilion, iaitu 15.1 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2023.

Minyak sawit merupakan keluaran utama pertanian Malaysia serta perdagangan globalnya, menjadikan negara ini pengeluar kedua terbesar komoditi itu di dunia.

Petronas menjadi pemacu utama sektor O&G di Malaysia hari ini.

O&G

Malaysia kaya dengan sumber asli dan banyak bergantung pada usaha mengekstrak sumber-sumber ini untuk menjana ekonomi, sejak sebelum merdeka lagi.

Bijih timah, yang pertama kali ditemui di Larut, Perak pada 1848, merupakan pemacu utama ekonomi selama lebih satu abad.

O&G kini menjadi sumber asli utama.

Petronas pemacu utama sektor O&G di Malaysia hari ini, namun syarikat minyak global, Shell adalah yang pertama sekali membuka peluang perniagaan itu kepada negara.

Minyak pertama kali ditemui pada 1910 di Bukit Kanada, Miri oleh Marcus Samuel and Company, yang kemudian menukar namanya kepada Shell.

Telaga minyak pertama yang digali oleh Shell mengepam 83 tong minyak sehari.

Sebagai konteks, pengeluaran pengeluaran minyak mentah dan kondensat di Malaysia berjumlah 181.6 juta tong tahun lalu, manakala gas asli mencapai pengeluaran sebanyak 2,948.8 bilion kaki padu, berdasarkan Statistik Perlombongan Petroleum dan Gas Asli, Suku Keempat 2024.

Beberapa syarikat minyak utama lain yang melabur dalam segmen huluan sektor O&G di Malaysia, antaranya menerusi kerjasama dengan Petronas, adalah Exxon-Mobil dan Hess Corporation dari Amerika Syarikat, PTT Exploration and Production Public Co Ltd dari Thailand, dan EnQuest dari UK.

Hari ini sektor O&G menyumbang kira-kira RM300 bilion kepada ekonomi.

Ia telah mengharungi ketidaktentuan pasaran global selama bertahun-tahun untuk kekal sebagai sumber pendapatan dan pekerjaan utama bagi rakyat, sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai tonggak ekonomi yang kritikal.

Sektor O&G banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di peringkat nasional dan negeri.

Di Sarawak, Sabah, Terengganu, dan Johor, Petronas terlibat dalam melatih vendor tempatan dan kehadirannya membawa manfaat ekonomi yang besar kepada masyarakat setempat.

Pertumbuhan ekonomi yang pesat di Malaysia didorong oleh kerjasama yang erat antara kerajaan persekutuan dan negeri, dengan dasar-dasar kukuh yang digariskan di peringkat nasional untuk memastikan setiap negeri mendapat manfaat daripada pelbagai sumber yang dihasilkan.

Minyak sebahagian besarnya diekstrak di dalam atau di luar pantai beberapa negeri, namun negeri yang bukan pengeluar komoditi itu turut merasai faedahnya.

Setiap negeri, termasuk yang tiada sumber semula jadi, menyumbang sama rata kepada ekonomi.

Sebagai contoh, Pulau Pinang dan Selangor peneraju sektor pembuatan, manakala Sabah, Sarawak, dan Johor pengeluar terbesar minyak sawit.

Secara keseluruhan, kesemua sektor ini menyumbang kepada kekuatan dan kestabilan ekonomi.

Sebagai sebuah negara, semua rakyat memainkan peranan dalam pertumbuhannya dan berkongsi manfaatnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI