POKOK SENA – Bulan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini disambut sayu bagi empat beradik yang kehilangan ibu bapa sekelip mata dalam kemalangan di Pendang, dekat sini Januari lalu.
Muhammad Azril Hafizi, 15, meluahkan kerinduan terhadap ibu bapanya, Allahyarham Mazlan Abu Hassan, 52, dan Noriza Saad, 34, apabila terpaksa menjalani ibadah puasa buat pertama kali tanpa orang tersayang di sisi.
“Kami empat beradik merindui suasana berpuasa apabila bangun sahur emak yang kejutkan. Kami makan bersama-sama. Paling kami rindui masakan ibu, rendang dan gulai ayam.
“Memang lain rasanya sebab ini kali pertama kami berpuasa tanpa ibu dan bapa, namun kami bersyukur kerana masih ada ibu bapa saudara yang sudi menjaga kami seperti anak sendiri,” katanya ketika ditemui di rumah bapa saudara mereka, Kasuadinata Saad, 45, di Kampung Tanjung Musang, di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Muhammad Azrul dan adiknya, Aina Damia termasuk dua adik kembar mereka yang berusia dua tahun, Nur Qaseh Melissa Mazlan dan Nur Chinta Melissa menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Pendang.
Menurut Muhammad Azrul, sebagai anak sulung, dia menggalas tanggungjawab sebagai ‘ibu bapa’ kepada tiga adiknya itu terutama si kembar yang masih kecil.
Ibu saudara mereka, Zuraina Abu, 53, berkata, dia sekeluarga berusaha sedaya upaya menatang empat beradik tersebut dengan penuh kasih sayang agar mereka tidak merasa kehilangan berat tersebut.
“Saya memikul amanah yang diberikan oleh arwah ibu bapa mereka yang pernah berkata, kalau mereka meninggal dunia, saya dan suami perlu jaga anak-anak mereka sebaik mungkin.
“Anak-anak saya semuanya sudah besar. Sekarang rumah ini kembali ceria sebab ada kanak-kanak. Mereka (anak-anak saudara) suka makan nasi tomato dan rendang jadi saya selalu sediakan untuk mereka,” katanya.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan E-Idaman Sdn. Bhd. dan KSDC Insurance Brokers Sdn Bhd. bagi yang tampil bantuan berupa wang tunai dan barangan makanan. – KOSMO! ONLINE