fbpx

DinFei ada aura dominasi All England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SZE FEI (kanan) dan IZZUDDIN akan membuka tirai menentang Gi Jung-Sa Rang di pusingan pertama hari ini.

KEMARAU kejuaraan selama 18 tahun dalam acara beregu lelaki pada Kejohanan Badminton All England dijangka berakhir apabila pemain-pemain negara mula turun ke gelanggang bagi menggalas cabaran edisi kali ini.

Gandingan profesional yang juga pilihan kedua kejohanan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dianggap sebagai sandaran utama untuk membawa pulang gelaran berdasarkan reputasi serta aksi konsisten ditampilkan.

Bukan mahu menidakkan kemampuan beregu-beregu lain, namun secara realistik, pasangan yang mesra dengan panggilan DinFei itu memiliki aura tersendiri selain mampu berdepan tekanan beraksi di pentas tertinggi.

Sze Fei-Izzuddin juga akan turun dengan kondisi lebih baik apabila mendapat rehat secukupnya selepas kali terakhir beraksi ketika muncul juara Terbuka India di New Delhi pada Januari lalu.

Ia mampu menjadi faktor buat beregu No. 2 dunia itu untuk menampilkan aksi optimum, sekali gus mencerahkan peluang mereka mendakap gelaran pada kejohanan badminton tertua di dunia itu.

Bekas beregu emas negara, Tan Boon Heong turut menyuarakan hasrat serta keyakinan Malaysia mampu menamatkan penantian untuk menyaksikan beregu lelaki negara muncul juara All England.

“Kali ini kita ada enam beregu di sana (All England), jadi peluang cukup tinggi. Selamat berjaya buat mereka kerana saingan dalam beregu lelaki pada ketika ini sangat terbuka dan lebih mencabar.

“Saya harap kita dapat bawa pulang pingat (kejuaraan) kerana sudah terlalu lama (kali terakhir menang) iaitu pada 2007. Semoga mereka menampilkan aksi terbaik dan berikan cabaran kepada beregu-beregu lain,” katanya.

Menjelang pusingan pertama hari ini, Sze Fei-Izzuddin akan memulakan saingan menentang beregu berpengalaman dari Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang.

Kali terakhir Malaysia memenangi All England dalam acara beregu lelaki adalah menerusi gandingan Koo Kien Keat-Boon Heong pada edisi 2007 selepas menewaskan Cai Yun-Fu Hai Feng dari China.

Pada edisi tahun lalu, Malaysia hampir menamatkan kemarau tersebut apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke perlawanan akhir, namun tewas 16-21, 16-21 kepada beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI