WASHINGTON – Sekurang-kurangnya empat kenderaan elektrik (EV) terbakar selepas penunjuk perasaan menyerbu sebuah bilik pameran Tesla di Washington sebagai protes terhadap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk, lapor akhbar New York Post.
Kejadian berlaku di daerah perindustrian Seattle, Ahad lalu.
Jurucakap Jabatan Bomba Seattle, David Cuerpo berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan kebakaran sekitar pukul 11.13 malam (waktu tempatan).
“Tiada kecederaan dilaporkan. Namun, hanya empat model Tesla Cybertruck hangus dijilat api.
“Kami telah memindahkan kesemua EV lain untuk memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan sekitar,” tambah Cuerpo.
Pihak berkuasa masih belum menemui suspek dan motif, namun kebakaran itu merupakan insiden terbaharu yang menyasarkan Tesla ketika protes terhadap Musk semakin meningkat.
Pada minggu lalu, tujuh stesen pengecas Tesla di bandar Boston, negeri Massachusetts dibakar secara sengaja.
Beratus-ratus penunjuk perasaan pula berkumpul di luar bilik pameran Tesla di Manhattan, New York pada Sabtu sambil melaungkan ‘Tiada siapa yang mengundi Elon Musk’. – AGENSI