fbpx

All England: DinFei mula misi buru gelaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SZE FEI (kiri) dan Izzuddin berjaya memperkemaskan permainan sebelum menang ke atas Gi Jung-Sa Rang pada pusingan pertama All England. - AFP

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani memulakan kempen pada Kejohanan Badminton All England dengan langkah kanan apabila berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.

Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham sebentar tadi, gandingan No.2 dunia itu menang 21-17, 21-14 ke atas beregu berpengalaman Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang.

Walaupun memulakan permainan dengan agak goyah selain masih tercari-cari rentak permainan, namun mereka berjaya mengekalkan fokus dan mula mempamerkan aksi sebenar sebelum mara ke pusingan kedua.

“Kami rasa sangat gembira dan teruja untuk beraksi di sini dan mahu menikmati setiap perlawanan. Secara jujur, kami tidak rasa tertekan kerana memang sudah bersiap sedia dari segi mental dan strategi.

“Perlawanan hari ini boleh dikatakan agak sukar tetapi kami hanya mahu menikmati perlawanan dan tampilkan aksi terbaik,” kata Izzuddin kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Menjelang pusingan kedua esok, Sze Fei-Izzuddin akan menantikan pemenang perlawanan antara satu lagi wakil Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dan Dechapol Puavaranukroh-Kittinupong Kedren dari Thailand.

Turut melangkah ke pusingan kedua esok adalah beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang membenam cabaran pasangan Taiwan, Teng Chun Hsun-Yan Chu Yun menerusi aksi tiga set 19-21, 21-15, 21-13.

Menanti bekas juara Terbuka Perancis itu di pusingan kedua nanti adalah naib juara dunia 2023 dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti yang menewaskan satu lagi wakil Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun 17-21, 22-20, 21-19.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang turun sebagai pilihan kedua apabila tewas 21-18, 20-22, 11-21 kepada Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia.

Kekalahan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei gagal untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian tahun lalu di mana mereka berjaya melangkah ke pusingan kedua. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI