fbpx

251 kes tumpas, rampas RM110 juta dalam Op Pagar Khas Laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin Nasution melihat paparan skrin radar di atas KM Tun Fatimah. - Foto oleh AFIQ RAZALI

 

KLANG – Sebanyak 251 kes termasuk berprofil tinggi berjaya ditumpaskan dengan nilai rampasan RM110 juta dalam Op Khas Pagar Laut bermula 2020 hingga tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah tersebut didapati Sabah mencatatkan kes tangkapan tertinggi iaitu 69 kes diikuti Perak (57) dan Johor (31).

Katanya, pelaksanaan dilakukan Maritim Malaysia (APMM) berkenaan dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan dan pencerobohan perairan negara khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.

“Kesalahan paling tinggi direkodkan adalah dibawah Akta Perikanan 1985 dengan 185 kes, Akta Imigresen 1959/63 (95) dan Ordinan Perkapalan Saudagar sebanyak 40 kes,” katanya pada sidang akhbar selepas meluncurkan Op Khas Pagar Laut 2025 di atas Kapal Maritim Tun Fatimah, hari ini.

Kata beliau, Op Khas Pagar Laut itu merangkumi empat fasa iaitu pengumpulan maklumat dan kesiapsiagaan aset, penguatkuasaan sebelum perayaan serta selepas raya selain pemantauan dan Post Exercise Debrief (PXD).

Saifuddin Nasution menegaskan operasi ini bukan sekadar rondaan rutin sebaliknya melibatkan risiko tinggi terhadap keselamatan anggota.

Ujarnya, seorang pegawai telah ditetak di kepala oleh nelayan Vietnam ketika pemeriksaan pada tahun 2023.

“Tahun lalu pula, seorang anggota hilang penglihatan akibat insiden berbalas tembakan di perairan Kunak.

“Malah, hujung tahun lalu berlaku kes penjenayah membaling bom ikan kepada penguatkuasa ketika bot suspek cuba ditahan di Perairan Timbun Mata Kunak, Lahad Datu,” jelasnya.

Justeru, kata beliau, kerajaan sedang memperkukuhkan keupayaan Maritim Malaysia melalui perolehan kapal induk baharu daripada Desan Shipyard, Turki yang dijangka beroperasi pada suku pertama 2027.

Sementara itu, katanya, model kerjasama antarabangsa seperti perjanjian antara Kesatuan Eropah dan Maghribi sedang dikaji bagi menyelesaikan isu eksplorasi hasil laut dalam terutama dalam mengatasi isu pencerobohan nelayan laut dalam Vietnam di perairan Malaysia.

Kata beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima kunjungan Perdana Menteri Vietnam dalam lawatan rasmi beberapa bulan lepas dan bersetuju untuk menyelesaikan isu terbabit.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI