ISKANDAR PUTERI – Sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia, Yayasan MyRAHub menjalankan tanggungjawab sosial (CSR) menceriakan murid dan pelajar istimewa Orang Kelainan Upaya (OKU) meneroka kehidupan marin di Sea Life Malaysia, Legoland di sini semalam.
Pengasas Yayasan MyRAHub, Datuk Suhaila Ahmad berkata, dalam program Majlis Ifrar Sentuhan Kasih Ramadan itu, pihaknya memilih 25 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Perling dan 25 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perling.
Ujarnya, program itu merupakan antara acara tradisi kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit berkongsi rezeki sempena kedatangan Ramadan.
“Alhamdulillah sudah menjadi kelaziman pihak kami menjalankan CSR dan kali ini kami mengambil peluang dan ruang untuk meraikan 50 murid dan pelajar SK Taman Perling serta SMK Seri Perling.
“Dalam Program Ifrar Sentuhan Kasih Ramadan ini mereka dibawa melihat lebih dekat kehidupan bawah laut dan berbuka puasa di Hotel Legoland selain menyampaikan sumbangan berupa duit raya,”katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Timbalan Presiden, Legoland Malaysia Resort, CS Lim berkata, pihaknya berbesar hati menyambut kedatangan murid dan pelajar sekolah ke Sea Life Malaysia dan berbuka puasa di Hotel Legoland.
Katanya, Sea Life Malaysia merupakan antara akuarium interaktif yang menjadi ‘rumah’ kepada 13,000 spesies hidupan laut yang hidup di dalam 25 tangki pameran gergasi.
“Menerusi program ini, mereka mendapat inspirasi dan ilmu untuk mencintai serta menjaga lautan melalui penceritaan Sea Life Malaysia yang menarik dan perjalanan pendidikan interaktif yang lebih dekat,”katanya.
Dalam pada itu, seorang pelajar masalah pembelajaran dari SMK Seri Perling, Qusyairy Mubarack Ma’ Mo, 14, berkata, dia teruja dan gembira dapat merasai pengalaman meneroka Sea Life Malaysia.
Katanya, banyak kehidupan marin yang semakin pupus seperti ikan pari, obor-obor, kuda laut dan juga jerung kuda belang dapat dilihat di depan mata.
“Di sini kami dapat mempelajari ilmu pendidikan tentang kehidupan laut, banyak perkara kami dapat iaitu bagaimana habitat mereka, mereka makan apa, mereka boleh hidup macam mana dan lain-lain,”katanya.
Bagi Siti Fstimah Ar Zaharah Abdullah, 15, pula, dia sangat berterima kasih dan terharu dengan kesungguhan MyRAHub dan Legoland Malaysia meraikan kanak-kanak dan remaja sepertinya.
“Kami rasa gembira sangat, kehidupan kami tidak sesempurna insan lain tetapi kami diraikan dalam suasana yang sangat baik dan harmoni.
“Kami dapat merasai kasih sayang dan tidak disisihkan,”katanya.-KOSMO! ONLINE