KYIV – Orang terkaya dunia, Elon Musk mendakwa bahawa platform X miliknya menjadi sasaran serangan siber besar-besaran berasal dari Ukraine, lapor portal berita Times of India semalam.
Serangan itu menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan dan menimbulkan kebimbangan keselamatan siber.
“Kami tidak pasti apa yang berlaku tetapi terdapat serangan siber besar-besaran untuk menjatuhkan sistem X dengan alamat IP berasal dari kawasan Ukraine,” kata Musk semasa temu bual bersama stesen penyiaran Fox News.
Kenyataan itu dibuat selepas beribu-ribu pengguna membuat aduan tentang gangguan X malam tadi.
“X masih mengalami serangan siber. Kami digodam setiap hari, tetapi kali ini, ia dilakukan sama ada kumpulan besar yang diselaraskan atau sebuah negara terlibat.
“Pertama, protes terhadap Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE). Kemudian, Tesla diserang dan sekarang X. Saya tidak akan menolak kemungkinan bahawa gangguan ini adalah akibat daripada serangan ke atas X,” tambahnya.
Menurut laman web Downdetector, laporan gangguan memuncak sekitar pukul 6 pagi (waktu tempatan) dan sekali lagi meningkat pada 10 pagi, dengan lebih 40,000 pengguna mengalami masalah akses.
Serangan itu berlangsung sekurang-kurangnya satu jam bermula tengah hari, dengan gangguan paling teruk tertumpu di sepanjang kawasan pantai Amerika Syarikat (AS). – AGENSI