KOTA BHARU – Seorang warga emas melecur di kaki selepas meredah api untuk menyelamatkan geran tanah setelah rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Chempaka, Pengkalan Chepa di sini petang semalam.
Kejadian pada pukul 4.30 petang itu berlaku semasa Noriah Abdul Rahman, 65, pulang daripada membeli juadah berbuka.
Jiran mangsa, Norafini Azmi, 36, berkata, salah seorang saudaranya memaklumkan terdengar beberapa letupan kecil dan terhidu bau hangit dari rumah warga emas tersebut.
Katanya, dia yang ketika itu sedang memasak bergegas keluar dan mendapati api sedang marak membakar ruang dapur rumah berkenaan dan hampir merebak ke kawasan rumahnya.
“Saya meminta bantuan penduduk kampung untuk memadam api bagi mengelakkan ia merebak ke rumah saya kerana ketika itu angin bertiup kencang.
“Dengan bantuan adik-beradik dan penduduk kampung, api semakin kurang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.
Norafini memberitahu, selang beberapa minit kemudian, Noriah yang pulang dari membeli juadah berbuka terkejut dan hampir pengsan selepas melihat rumahnya terbakar.
Warga emas itu meredah api untuk menyelamatkan geran tanahnya yang disimpan dalam rumah tersebut.
“Ibu saya cuba menghalang, namun Noriah tetap masuk ke dalam rumah. Dia dapat ambil geran tanah itu, namun kakinya melecur akibat terkena api. Difahamkan, kebakaran berpunca akibat litar pintas. Noriah kini menumpang di rumah anaknya di Kampung Cherang,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Mahussin Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 4.56 petang dan seramai 21 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi untuk memadam api. – KOSMO! ONLINE