PETALING JAYA – Seorang pengguna jalan raya terkejut selepas menyaksikan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang berada di hadapannya terlibat kemalangan setelah terlanggar tayar yang berada di lorong kanan di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, semalam.
Menurut perkongsian di Facebook oleh @Khairulabdullah, kejadian berlaku ketika dia sedang memandu bersama anak-anaknya yang sedang tidur.
“Saya berada di lorong laju dan memberi laluan kepada sebuah kereta yang mahu memotong. Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi hentaman kuat,” katanya.
Bagaimanapun, pemandu itu tidak menyedari apa yang berlaku sehinggalah dia menonton rakaman daripada kamera papan pemuka (dashcam) keesokan harinya.
“Baru saya perasan, rupanya kereta itu telah melanggar tayar yang berada di lorong laju. Kalau saya tidak memberi laluan, mungkin saya yang akan langgar,” katanya.
Menjengah di ruangan komen, ramai yang tertanya-tanya mengenai tanggungjawab pengurusan lebuh raya dalam insiden seperti ini.
“Jika kes macam ini, pengguna boleh saman pengurusan lebuh raya tak,” kata @Hanz.raihan.
“Itu sebab lebuh raya kena ada lampu, sesetengah tempat gelap tiada lampu sepanjang jalan kalau keadaan macam ini ada tayar pecah, tercabut, tak sempat nak elak,” kata @Amie7730.
“Dulu saya pernah kena macam ini, gelap gelita kereta tak senget tapi melambung,” kata @Anne.melly. – KOSMO! ONLINE