PARIS – Gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) yakin mampu menyambar tiket suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menewaskan Liverpool dalam aksi timbal balik pusingan 16 di Anfield awal pagi esok.
Ia berdasarkan situasi PSG merehatkan lapan pemain utama ketika mencatat kemenangan 4-1 ke atas Rennes dalam saingan Ligue 1 di Roazhon Park pada Sabtu lalu.
Pengendali PSG, Luis Enrique memberi ruang kepada Gianluigi Donnarumma, Achraf Hakimi, Nuno Mendes, Fabian Ruiz, Vitinha, Khvicha Kvaratskhelia dan Ousmane Dembele lebih waktu rehat agar cergas sepenuhnya untuk aksi hidup mati menentang Liverpool.
“Kami tiada apa perlu dirugikan. Saya dapat rasakan kami akan menurunkan skuad paling baik untuk aksi dengan Liverpool.
“Objektif kami hanya satu iaitu menang. Dengan situasi semasa, kami boleh dikatakan pasukan lebih berbahaya berbanding sebelum ini,” kata Enrique.
PSG pastinya tidak rela ‘pisang berbuah dua kali’ seperti aksi pertama minggu lalu yang menyaksikan mereka tewas 0-1 meskipun menguasai sepenuhnya aksi berbanding Liverpool yang hanya memiliki satu peluang.
Kecekapakan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker menafikan sembilan percubaan selain kegagalan menyudahkan peluang menjadi penyebab utama PSG tewas aksi tersebut.
Sekiranya berjaya memadam defisit satu gol dan memenangi aksi itu, PSG bakal berdepan Club Brugge atau Aston Villa di suku akhir. – AGENSI