KUALA LUMPUR -Pelaksanaan projek Trans Borneo Rail pada masa akan mengambil inspirasi daripada model projek Rel Pantai Timur (ECRL) bagi menyokong keperluan di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, projek berkenaan akan menumpukan kepada pengangkutan kargo menerusi kapasiti sebanyak 70 peratus bagi keseluruhan perkhidmatan tersebut.
Menurut beliau, bagi segmen penumpang pula katanya, pihaknya dijangka memperuntukkan kira-kira 30 peratus daripada keselurhan perkhidmatan rel berkenaan.
“Konsep ini mengambil inspirasi model Projek Rel Pantai Timur (ECRL) bagi menyokong keperluan logistik dan perindustrian di Sabah dan Sarawak.
“Bagi perkhidmatan rel dalam bandar pula, Kerajaan Sarawak telah membangunkan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) di Kuching yang lebih sesuai untuk pergerakan penumpang dalam kawasan bandar,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew yang mahu kerajaan menyatakan perancangan untuk membangunkan sistem landasan kereta api di Sarawak dan Sabah terutamanya di antara bandar-bandar utama.-KOSMO! ONLINE