GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya membongkarkan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan tiga suspek lelaki tempatan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Bayan Lepas, di sini semalam.
Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya ganja, syabu, erimin 5 dan lain-lain bernilai RM57,326.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, serbuan dilakukan bermula pukul 2 petang semalam hingga pukul 1 pagi hari ini dan tangkapan membabitkan tiga suspek berusia antara 26 hingga 29 tahun.
“Hasil serbuan, polis merampas dadah jenis ganja seberat 5 kilogram bernilai RM15,500, syabu seberat 777 gram bernilai RM25,641.
“Turut dirampas ialah pil Erimin 5 sebanyak 2,000 biji bernilai RM16,000, serta rokok yang mengandungi dadah jenis mushroom bernilai RM175,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dalam operasi tersebut pihaknya turut merampas dua bungkusan plastik berisi 500ml cecair disyaki air ketum bernilai RM10.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini aktif menjalankan kegiatan pengedaran sejak awal tahun ini, dengan anggaran jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan sehingga 66,000 kali,” katanya.
Hamzah berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine manakala seorang lagi mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari hingga 17 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
‘”Selain dadah, polis turut menyita dua motosikal bernilai RM7,200 dan wang tunai RM1,340 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM65,866,” katanya.
Hamzah berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan usaha membanteras sindiket dadah dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan jenayah ini dapat dibendung sepenuhnya. -KOSMO! ONLINE