SHAH ALAM – Ratu rock negara, Ella mengakui kagum dengan bakat-bakat baharu yang kian mendapat tempat dalam industri seni tanah air terutama Nadeera.
Ujar Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 59, dia sudah mengikuti perjalanan karier Nadeera sejak program realiti Mentor Legend 10 tahun lalu dan kian terkesima dengan bakat penyanyi kelahiran Mersing, Johor itu terutama selepas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).
“Saya terperanjat dengan Nadeera punya kebagusan. Persembahan dia dia pentas AJL39 tempoh hari memang ‘on point’.
“Saya tengok apa dia buat atas pentas dan I was like, she’s good (dia memang sangat bagus). Saya rasa memang dia patut diterima industri seperti sekarang,” katanya kepada Kosmo! Online baru baru ini.
Kata bekas mentor kepada Aina Abdul itu, semua bakat yang lahir daripada program Mentor Legend kini kian mendapat perhatian dan dia sangat berbangga dengan perkara tersebut.
“Ada masa saya ikuti perkembangan mereka. Semua bakat-bakat ini di bawah program Mentor Legend,” katanya.
Sekadar info, 10 tahun lalu di pentas Mentor Legend terbitan TV3, Ella bertindak sebagai mentor kepada Aina yang berjaya dinobatkan sebagai naib juara.
Nadeera yang merupakan protege kepada Datuk Zainal Abidin tersingkir di pusingan separuh akhir.
Baru-baru ini, Nadeera mencipta fenomena tersendiri apabila dinobatkan sebagai naib juara AJL39 menerusi lagu Bukan Lagi Kita ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh. – KOSMO! ONLINE