fbpx

‘Tak sangka Raja Charles III tahu Anta Permana tentang cinta’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti (kiri) tidak menyangka Raja Britain menyukai dendangannya berjudul Anta Permana.

PETALING JAYA – Lagu Anta Permana menjadi lagu pilihan Raja Charles III, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui tidak menyangka Raja Britain menyukai dendangan tersebut.

Kata pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin, 46, secara tidak langsung membuktikan keunikan muzik yang mampu merentasi sempadan.

“Muzik melangkaui budaya, bangsa, bahasa. Tak sangka lagu Anta Permana jadi pilihan dan dalam masa sama Raja Charles III tahu lagu itu tentang cinta.

“Muzik kita juga boleh merentasi sempadan dunia dan dengan adanya teknologi yang pelbagai, muzik atau karya kita didengar seluruh dunia.

“Sejujurnya Anta Permana mempunyai kelebihan tersendiri walaupun yang mendengarnya tidak memahami bahasa lagu itu tetapi melodinya menyentuh perasaan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pada masa sama, Siti menzahirkan ucapan tahniah kepada komposer yang menghasilkan karya indah tersebut iaitu Hael Husaini dan Ezra Kong.

“Tahniah buat Hael dan Ezra kerana ini merupakan lagu ciptaan mereka,” ujarnya.

Terdahulu, lagu yang dilancarkan pada 2018 itu menjadi sebahagian daripada program The King’s Music Room di Apple Music bersempena sambutan Hari Negara Komanwel.

Senarai seleksi pilihan Raja Britain dikumpulkan khas di platform terbabit dengan tajuk His Majesty King Charles III’s Playlist menampilkan gabungan muzik dari seluruh dunia.

Lagu ikonik itu disenaraikan bersama 16 dendangan artis lain termasuk Bob Marley, Diana Rose, Kylie Minogue, Grace Jones, Beyonce, Kylie Minogue dan Michael Buble.

Berdurasi satu jam sepuluh minit, seleksi kesukaan tokoh berpengaruh dunia itu turut dikongsikan secara eksklusif dalam media sosial rasmi The Royal Family.

Secara tidak langsung, pemilihan tersebut sebagai penghormatan, sekali gus mengangkat keunikan lagu Melayu ke persada antarabangsa.

Tidak hairan menerusi ruangan komen di Instagram penyanyi nombor satu negara itu, ramai peminat berkongsi perasaan bangga apabila Anta Permana mendunia.

“Siapa kata lagu Melayu tiada ‘class’ macam lagu Barat. Nyata muzik merentasi sempadan,” tulis seorang netizen.

“Selayaknya beliau digelar Biduanita Negara. Terus ke depan, membumi dan mendunia,” kata pemilik akaun media sosial lain.

Perkongsian Apple Music itu juga menggambarkan selera muzik baginda yang luas merangkumi pelbagai era dan genre antaranya afrobeats, reggae serta pop kontemporari.

Dalam ucapannya, Raja Britain itu mengakui karya pilihannya yang merangkumi pelbagai gaya dan budaya berbeza membawa kebahagiaan dalam kehidupan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI