PETALING JAYA – Kembali didakwa sudah meninggal dunia, pelakon Adam Corrie kesal apabila hal kematian masih diperolokkan dan menjadi bahan permainan pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, dia sudah tiada daya untuk memperincikan bahawa foto dikapankan seperti yang ditularkan merupakan babak dalam sebuah drama lakonannya.
“Ini gambar ketika penggambaran drama Tanah Kubur 13 tahun lepas.
“Tak larat dah nak menjawab,” katanya menerusi satu perkongsian Instagram.
Hantaran berkenaan turut disertakan tangkap layar beberapa fotonya dalam adegan drama bersiri arahan Rashid Sibir yang pernah menjadi sebutan ramai ketika disiarkan sekitar 2011.
Menerusi hantaran sama, Adam atau nama lengkapnya Adam Corrie Lee Abdullah, 56, mengesahkan dirinya dalam keadaan sihat.
“Baru-baru ni saya menerima banyak mesej bertanyakan tentang khabar angin yang mengatakan saya sudah meninggal dunia.
“Alhamdulillah saya masih sihat dan aktif seperti biasa,” ujarnya.
Pelakon filem Takluk Lahad Datu itu turut menitipkan pesanan buat orang ramai untuk menyemak dahulu kesahihan sesebuah berita sebelum mempercayai dan menyebarkan kepada pihak lain.
Adam juga menzahirkan perasaan bimbang terhadap fitnah yang mencetuskan kerisauan ahli keluarga serta rakan-rakannya.
“Fitnah sebegini bukan sahaja membingungkan keluarga dan rakan-rakan saya, malah boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mereka yang mengenali saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Adam turut mempersoalkan masih banyak lambakan berita palsu disiarkan laman blog demi meraih perhatian dan menaikkan jumlah pengikut.
Sekitar tiga tahun lalu bapa kepada seorang anak itu pernah berdepan situasi serupa apabila gambar dikapankan daripada drama bersiri Tanah Kubur disebarkan dalam laman sosial. – KOSMO! ONLINE