BESUT – Idea seorang peniaga menjual sushi bercita rasa tempatan membuahkan hasil apabila hampir 2,000 biji terjual di gerainya di Bazar Ramadan Kuala Besut di sini setiap hari sejak 1 Ramadan lalu.
Sharuddin Sabri, 36, berkata, setiap hari dia menawarkan 60 jenis sushi yang telah disesuaikan dengan tekak Melayu.
“Berbanding sushi asli yang banyak menggunakan makanan laut mentah, saya mengambil pendekatan lain menjadikan lauk siap dimasak sebagai bahan utama.
“Antaranya rendang daging, ayam telur masin, ayam goreng ala Korea, daging teriyaki dan cili manis,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Kuala Besut di sini kelmarin.
Sharuddin berkata, selain untuk menarik minat pelanggan tempatan yang rata-ratanya Melayu, penggunaan bahan sudah dimasak itu bertujuan bagi menjamin kebersihan dan ketahanan makanan tersebut.
Dia berkata, ia sekali gus mengurangkan risiko keracunan makanan dalam kalangan pelanggannya.
“Saya menjual sushi tekak Melayu tersebut pada harga mampu beli iaitu RM1 sebiji.
“Harga tersebut telah dikekalkan sejak empat tahun lalu walaupun berlaku kenaikan harga bahan mentah,” katanya.
Sharuddin berkata, sewaktu mula-mula berniaga pada tahun 2021 dahulu, hanya 20 jenis sushi ditawarkan.
Dia berkata, ia telah dipertingkatkan sedikit demi sedikit sehingga menjadi 60 jenis sekarang ini.