SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan meraikan 600 warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada majlis berbuka puasa di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM.
Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, kira-kira pukul 6.30 petang.
Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyerahkan sumbangan berjumlah RM6,000 dari Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM kepada 30 penerima.
Mereka terdiri daripada 20 pelajar asnaf miskin, enam pelajar dan empat kakitangan orang kurang upaya (OKU) menerima RM200 setiap seorang.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin juga berkenan menyertai bacaan Yasin dan tahlil khas dipimpin Ketua Unit Imarah Bahagian Hal Ehwal Islam UiTM Shah Alam, Mohd. Faizan Tajuid.
Selain berbuka puasa, baginda berdua menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah bersama warga UiTM yang hadir. – KOSMO! ONLINE