JOHOR BAHRU – Taktik seorang pemilik kedai runcit di Taman Universiti, Skudai di sini menjadikan premisnya sebagai pusat operasi pengedaran dadah yang dijalankan bersama pekerja dan rakannya terbongkar selepas diserbu polis baru-baru ini.
Serbuan dijalankan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara pada pukul 7 malam, 5 Mac lalu. Suspek disyaki dalam kegiatan itu aktif sejak Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, tiga suspek ditahan adalah warga tempatan berusia 22 hingga 29 tahun.
“Dalam serbuan itu, polis merampas syabu, serbuk ekstasi dan ganja dengan berat lebih 4 kilogram (kg) bernilai RM346,225.
“Kita menyita empat buah kereta, empat buah motosikal serta wang tunai RM1,000,” katanya pada sidang akhbar di IPD Johor Bahru di sini hari ini.
Menurut Balveer Singh, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek bebas pengambilan bahan terlarang, namun dua daripada mereka termasuk dalang mempunyai rekod jenayah.
“Sindiket ini memperoleh bekalan dadah dari luar negara dan disimpan di kedai runcit tersebut sebelum diedar ke seluruh Johor. Mereka direman untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-KOSMO! ONLINE