KUALA KANGSAR – Seorang anggota polis parah, manakala tiga yang lain cedera ringan selepas kenderaan pasukan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 257, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini petang tadi.
Difahamkan, kejadian pada pukul 3.45 petang itu membabitkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kedah.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila van polis yang dinaiki kesemua anggota itu hilang kawalan semasa menuruni bukit ketika cuaca hujan sebelum terbabas dan terbalik di bahu jalan.
Mangsa yang parah adalah pemandu van, manakala tiga yang cedera pula penumpang hadapan dan belakang kenderaan.
Plus Malaysia Berhad (PLUS) menerusi aplikasi X memaklumkan, kemalangan itu mengakibatkan lorong kiri terhalang, namun keadaan trafik masih terkawal. – KOSMO! ONLINE