SELAMA 16 tahun memperjuangkan bakat dalam dunia seni, segala penat lelah penyanyi Ernie Zakri akhirnya berbaloi dengan pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara.
Rezeki Ernie yang juga seorang guru vokal juga semakin mencurah-curah.
Paling membanggakan, pemilik nama lengkap Nur Ernie Shahirah Zakri menyifatkan segala perubahan yang dijalani kini impak komitmen dan hasil kerjasama dengan label terkemuka Universal Music Malaysia (UMM) dua tahun lalu.
“Saya nampak graf perjalanan karier saya semakin meningkat dan positif sejak menyertai keluarga besar UMM.
“Perkara tersebut membuatkan saya mahu berikan kelainan kepada peminat. Dengan bantuan UMM banyak projek yang bakal dilancarkan.
“Saya hanya jalani perjalanan kerjaya dengan tenang tanpa stres dan dari dahulu apa yang saya impikan sedikit sebanyak sudah pun tercapai,” katanya kepada HibGlam.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 33 tahun itu akur apabila terlalu bekerja keras, masa untuk diri sendiri terabai dan berjanji mahu mengubah tabiat tersebut.
“Apabila berada di satu tahap yang saya idamkan, masa untuk diri sendiri agak kurang. Ini bukan keluhan tetapi perkara ini saya mula sedar pada tahun ini.
“Ketika sakit, saya bukan kejam terhadap diri sendiri tetapi saya tolak tepi mengenai soal kesihatan. Saya rasa kena ada masa sendiri bagi menyembuhkan diri dari segala benda.
“Semua selebriti banyak pengorbanan, saya juga sedih apabila perlu tinggalkan keluarga tetapi saya beruntung ada orang uruskan anak di rumah dan punya suami yang cukup membantu,” ujarnya.
Saingan suami
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Aura itu memaklumkan kepayahan berada dalam bidang sama dengan suami, Syamel kerana wujud persaingan memandangkan mereka berdua sama-sama penyanyi.
Namun, Ernie juga tidak menafikan ada banyak membantu suami dalam menyumbang buah fikiran tentang apa-apa yang berkaitan dalam dunia muzik bagi membantu perkembangan karier suami.
“Orang kata bila dalam bidang sama senang tetapi lagi sukar kerana perlu tolak tepi hubungan suami isteri kerana kami saingan dalam industri.
“Saya syukur ada suami yang terlalu memahami, semuanya memerlukan komunikasi. Saya banyak luah kepada dia dan kami biasa buat ulasan mingguan tentang apa sahaja aktiviti nyanyian kami.
“Syamel tak pernah putus asa tetapi dia seorang yang sangat ‘lapar’ untuk berikan yang terbaik dalam karyanya.
“Kadang-kadang saya sendiri tidak tahu beri motivasi kepada orang tetapi kehadiran saya sedikit sebanyak membantu beri idea tentang konsep lagu buatnya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ernie akan mengadakan konsert Ernie Zakri Live In Singapore anjuran SAH Entertainment di Capitol Theatre, Singapura pada 31 Mei depan.
Ernie bakal membawakan konsep di Singapura sama seperti di Kuala Lumpur pada Januari lalu, bezanya cuma dia akan mempersembahkan single terbaharu berjudul Nostalgia yang dilancarkan pada Februari lalu.