BANGKOK – Seorang lelaki berusia 31 tahun merobohkan rumah dua tingkat miliknya di Ku Mueang, wilayah Buriram bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah, lapor laman berita Thaiger semalam.
Mon, 31, kini tinggal di dalam khemah selepas rumah tersebut dibongkar sepenuhnya, dengan hanya sebahagian dinding konkrit tidak dirobohkan.
Rumah dua tingkat dengan 12 tiang dan perabot lengkap itu kini hancur menjadi sisa runtuhan semata-mata.
Menurut penduduk setempat, Mon mengancam keselamatan mereka selepas dia menyerang seorang wanita sehingga mengakibatkan mangsa mengalami patah tengkorak.
Lelaki itu juga dikatakan sering mengalami halusinasi akibat ketagihan dadah yang melampau.
Ibu dan bapanya juga telah berpindah dari rumah itu kerana bimbang akan keselamatan diri mereka.
Superintendan Balai Polis Ku Mueang, Kolonel Polis Somchai Soponpanyaporn mengarahkan siasatan dijalankan yang membawa kepada penahanan Mon.
Mon bagaimanapun mendakwa bahawa anai-anai adalah punca dia membongkar rumah itu dan menuduh mangsa yang cedera parah tersebut cuba menyerangnya terlebih dahulu.
Mon mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan mencuri dan dadah.
Dia kini menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan serius dan penyalahgunaan dadah. – Agensi