SABAK BERNAM – Kejadian puting beliung telah menyebabkan lebih 20 buah rumah rosak di Taman Ria, Sekinchan di sini hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Datuk Ng Suee Lim yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung insiden tersebut meskipun sedang melakukan lawatan kerja di sebuah kampung berhampiran.
“Penduduk mendakwa puting beliung itu berlaku selepas dentuman guruh semasa hujan lebat.
“Walaupun puting beliung hanya berlaku selama satu minit, kekuatannya amat dahsyat. Lebih 20 buah rumah rosak termasuk bumbung diterbangkan angin serta berlubang.
“Malah, ada rumah yang mengalami kebocoran air dan gangguan bekalan elektrik sehingga tidak boleh didiami buat sementara waktu,” katanya.
Suee Lim yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor menegaskan telah mengarahkan Jawatankuasa Bencana, Pejabat Tanah, dan Jabatan Bomba untuk segera memberikan bantuan termasuk membuka pusat pemindahan sementara.
Tambahnya, pihaknya juga akan menilai keadaan sebelum memberikan bantuan yang sewajarnya.
Mengulas kejadian dua puting beliung yang berlaku di Sekinchan, Suee Lim tidak menafikan perubahan cuaca yang tidak menentu adalah faktor utama dan ini boleh dianggap sebagai bencana alam.
“Taman Ria pernah dilanda ribut puting beliung tetapi hanya satu atau dua rumah sahaja yang terjejas. Namun, kali ini, bencana ini menyebabkan kerosakan terbesar di kawasan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan beberapa rumah rosak selepas bumbung diterbangkan dalam kejadian puting beliung di sekitar Sekinchan, petang ini.- KOSMO! ONLINE