LUMUT – Kementerian Pertahanan berpuas hati dengan tahap kemajuan kerja-kerja pembinaan lima buah kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), meskipun mengalami sedikit kelewatan berbanding jadual asal.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau bersama kepimpinan tertinggi kementerian dan TLDM akan memantau rapat aktiviti pembinaan kapal-kapal tersebut.
Beliau menyifatkan projek itu sangat penting kepada negara kerana telah melibatkan jumlah perbelanjaan yang besar mencecah RM11 bilion.
“Sebagai sebuah negara maritim, kita sangat memerlukan kapal-kapal bagi TLDM terutama LCS,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS) bagi melihat kerja-kerja pembinaan LCS satu dan dua di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
Projek LCS itu telah dirancang hampir sedekad lalu membabitkan perancangan awal sebanyak enam buah kapal yang kemudian diubah kepada lima.
Pembangunan kapal tempur itu bagaimanapun dibelenggu masalah kelewatan dan lebihan kos sehingga mencetuskan kebimbangan dan dakwaan masalah urus tadbir.
Mohamed Khaled berkata, kehadiran beliau bersama yang lain adalah untuk menunjukkan komitmen kerajaan bagi memastikan projek itu dapat disempurnakan seperti mana dirancang.
“Kehadiran ini juga supaya masyarakat di luar sana mendapat maklumat secara langsung daripada kementerian, daripada saya, berbanding dengar-dengar daripada orang lain yang membuat tuduhan dan andaian yang bukan-bukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE