fbpx

Projek rakyat diteruskan sama ada peruntukan melalui Ahli Parlimen atau tidak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang projek untuk kepentingan rakyat tetap diteruskan sama ada peruntukan bagi tujuan itu disalurkan melalui Ahli Parlimen atau sebaliknya.

Perdana Menteri berkata, sebagai contoh program pembasmian kemiskinan tegar dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira kawasan tersebut di bawah Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang.

Ini kerana kata beliau, projek-projek seumpama itu adalah projek asas termasuk projek membaik pulih tandas sekolah yang sudah dilaksanakan sebelum ini.

“Soal peruntukan (Ahli Parlimen Pembangkang), saya tegaskan semula, sama ada melalui Ahli Parlimen atau tidak, projek rakyat diteruskan.

“Umpamanya pembasmian kemiskinan tegar itu menyeluruh tanpa mengira kawasan, itu juga projek-projek asas seperti beberapa tahun lalu kita baiki tandas sekolah, kita tidak tanya sekolah mana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Ihya’ Ramadan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Anwar berkata, setiap Ahli Parlimen memperoleh pendapatan keseluruhan mencecah antara RM30,000 hingga RM40,000 sebulan termasuk jumlah elaun yang diterima.

“Semalam saya beri penjelasan tentang elaun Ahli Parlimen, sebab ramai Ahli Parlimen pembangkang menceritakan betapa susahnya hidup mereka kerana tak dapat peruntukan, jadi saya jelaskan dua perkara.

“Pertama, pendapatan mereka keseluruhannya itu diantara RM30,000, memang mencecah lebih dari RM40,000 sebulan. Elaun tetap sekitar RM25,700, kemudian elaun sidang (sidang Parlimen), elaun mesyuarat Jawatankuasa Parlimen, elaun perjalanan.

“Jadi, keseluruhannya lebih daripada RM30,000 dan saya ingat RM40,000. Ada yang lebih sikit kalau dia duduk jauh. Tetapi yang saya nak tekankan, janganlah bagi gambaran seolah-olah terlalu sukar kerana ramai rakyat lain tak ada elaun perjalanan,” katanya.

Semalam, Anwar Ibrahim meminta Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya hadir dan duduk di meja rundingan berhubung syarat memorandum persefahaman (MoU) peruntukan untuk pembangkang.

Katanya, tidak ada gunanya mengkritik bahawa syarat MoU terlalu ketat dan tidak adil jika tidak mahu duduk berunding dan ruang perbincangan antara pembangkang dan kerajaan sentiasa terbuka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI