MANILA – Presiden Ferdinand Marcos Jr. melantik ketua menteri interim baharu untuk mentadbir satu-satunya wilayah majoriti penduduk beragama Islam di Filipina, menjelang pilihan raya parlimen pertama rantau berkenaan pada Oktober ini, lapor akhbar Arab News semalam.
Wilayah Bangsamoro itu dibelenggu pertempuran kumpulan pemisah selama empat dekad sehingga 2014, apabila Manila memeterai perjanjian gencatan senjata kekal bersama Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Ia membuka jalan kepada keamanan dan autonomi di rantau tersebut yang menempatkan penduduk beragama Islam terbesar Filipina, sebuah negara yang didominasi penganut Kristian Katholik.
Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) dibentuk pada 2019 sebagai sebahagian daripada peralihan wilayah itu kepada pentadbiran autonomi. Langkah itu akan sampai ke kemuncak pada Oktober tahun ini apabila ia akan memilih badan perundangan dan eksekutifnya.
Sehingga tempoh tersebut, kepimpinan BARMM berada di bawah kuasa peralihan yang dilantik oleh Marcos, dengan Abdulraof Macacua sebagai ketua menterinya.
Beliau menggantikan Murad Ebrahim yang telah berkhidmat sebagai ketua menteri BARMM sejak 2019.
“Peralihan ini berlaku pada masa genting kerana wilayah Bangsamoro bersedia untuk satu peristiwa penting iaitu pilihan raya parlimen pertamanya pada Oktober tahun ini,” kata Penasihat Keamanan Presiden, Carlito G. Galvez, Jr. dalam satu kenyataan.
“Demi kesinambungan dan kejayaan perjanjian damai Bangsamoro, kami meletakkan kepercayaan kepada Ketua Menteri Interim Macacua untuk menerajui tadbir urus,” tambahnya.
Macacua, 67, merupakan anggota Pihak Berkuasa Peralihan Bangsamoro sejak 2019. Turut dikenali sebagai Sammy Gambar, beliau ialah pemimpin kanan MILF dan pernah berkhidmat sebagai ketua sayap bersenjata MILF. – AGENSI