SIBU – Polis berjaya membongkarkan kegiatan dadah selepas menahan dua lelaki atas kesalahan memiliki senjata api buatan sendiri.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 20 dan 35 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sibu di sebuah rumah di Ladang Lengan, Jalan Batang Lebaan, Tanjung Manis di sini pukul 2 petang kelmarin.
“Dalam serbuan itu, polis merampas selaras senapang patah buatan sendiri serta enam butir peluru selain dadah jenis syabu seberat 6.18 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Sibu dan direman bermula semalam untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. – KOSMO! ONLINE