KUANTAN – Polis menahan dua beradik dipercayai menyembunyikan kelahiran selepas menghantar bayi baru lahir ke pusat perlindungan bayi di sebuah hospital di daerah ini.
Suspek berusia 24 tahun yang disyaki melahirkan bayi itu ditahan bersama kakaknya yang dipercayai membantu menghantar bayi berkenaan ke sebuah pusat perlindungan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, ibu bayi itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Jawa, Rompin semalam, manakala kakaknya berusia 25 tahun diberkas di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Rompin pada hari sama.
“Pada pukul 9.50 pagi semalam, anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dibantu anggota Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Rompin pergi ke sebuah rumah di Kampung Jawa dan terdapat seorang wanita berada di ruang tamu.
“Hasil pemeriksaan di bilik tidur suspek menjumpai plastik putih tertera tulisan ubat terkawal dan di dalamnya terdapat tiga peket plastik berisi pil disyaki ubat yang digunakan untuk memaksa kelahiran yang diletakkan di atas meja,”katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua wanita itu direman sehingga 13 Mac ini untuk siasatan di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan.
Polis turut merampas kereta jenis Nissan Almera yang dipercayai digunakan untuk menghantar bayi ke Kuantan. – KOSMO! ONLINE