PETALING JAYA – Bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang semakin serius di Terengganu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) telah meluluskan tiga projek bernilai RM182.5 juta.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan projek menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu bertujuan memastikan kestabilan pantai jangka panjang serta mengurangkan risiko hakisan yang
memberi kesan kepada komuniti setempat dan pembangunan pesisir.
Beliau berkata, projek pertama yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) itu adalah Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Kuala Nerus, Terengganu berjumlah RM69.91 juta.
“Projek ini di peringkat pelaksanaan dan telah bermula pada 24 Julai 2023 serta dijangka siap pada 23 September 2026.
“Status kemajuan projek adalah 22.3% dan
skop utama adalah pembinaan 16 buah struktur pemecah ombak (offshore breakwater) dari Telipot ke Sungai Gong Tuan Nit dan kerja-kerja penyuburan pasir pantai (beach nourishment) sepanjang 2 km,”katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Tuan Che Alias Hamid yang bertanyakan tentang penyelesaian jangka masa panjang yang diambil kerajaan bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai yang mengakibatkan kerosakan jalan pesisir pantai di Terengganu.
Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, dua lagi projek di peringkat pra-pelaksanaan iaitu Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Geliga, Kemaman dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kuala Paka, Dungun.
Menurutnya, skop utama projek ialah pembinaan struktur kawalan hakisan pantai seperti kerja-kerja penyuburan pasir pantai dan struktur pemecah ombak.
“Pembinaan fizikal bagi kedua-dua projek ini dijangka bermula pada awal tahun 2027,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE