PETALING JAYA – Berusaha menjadi Muslimah lebih baik, penyanyi Syasya Rizal mengakui hatinya pernah berbolak-balik disebabkan persepsi negatif segelintir pihak.
Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, berkata, perasaan tersebut tercetus selepas berdepan pelbagai ujian yang membuatkan fikirannya terpesong kepada perkara tidak sepatutnya.
“Sejak saya pakai tudung, perjalanan ini sebenarnya sangat mencabar dan menguji mental. Tidak semudah yang orang nampak.
“Kadang-kadang terfikir, patah balik itu mungkin adalah cara yang paling mudah.
“Orang ingat kita dah alim tapi tidak pun. Saya sama sahaja macam yang lain, masih mencuba untuk jadi seseorang yang lebih baik,” katanya menerusi perkongsian video dalam TikTok.
Pada masa sama, bekas anggota kumpulan Dolla itu turut mengingatkan dirinya sendiri agar tidak riak dalam proses untuk istiqamah.
Syasya juga memberi pesanan kepada wanita yang dalam proses ke arah menjadi Muslimah lebih baik dengan menjalani fasa baru itu seadanya.
“Buat semua wanita di luar sana yang tengah berjuang untuk istiqamah, tidak mengapa jika perjalanan itu agak lambat dan jangan terlalu memaksa.
“Perjalanan kita semua tak sama, jadi tak perlu bandingkan dengan orang lain. Slowy but surely (perlahan-lahan).
Perkongsiannya meraih pelbagai komen positif pengikut yang rata-rata kagum dengan keputusan sanggup meninggalkan kemasyhuran demi keluarga.
“Kagum dengan dia. Pernah berada di puncak karier tetapi memilih untuk ‘turun’ dalam sekelip mata dan melalui perubahan yang baik,” kata netizen.
“Awak boleh lakukannya Syasya. Moga awak dan kita semua terus istiqamah,” tulis pemilik akaun lain.
Pada 8 April lalu, Syasya membuat kejutan apabila mengumumkan undur diri daripada Dolla berikutan hal peribadi yang tidak dapat didedahkan selain mula berhijab.
Selepas itu sekitar dua minggu kemudian dia mengesahkan sudah bernikah dengan Nasrullah Mohd Sapie, 24.
Syasya selamat melahirkan cahaya mata sulungnya, seorang bayi lelaki diberikan nama Muhammad Yassir Hayyan pada akhir 2024. – KOSMO! ONLINE