PETALING JAYA – Pihak Astro Audio menyambut baik keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengesahkan tidak menggantung lesen penyiaran radio Maestra Broadcast Sdn. Bhd. (Maestra) merangkumi Era, Mix dan Melody FM.
Dalam hal sama, Astro Audio mengambil maklum mengenai kompaun sebanyak RM250,000 yang dikenakan ke atas Maestra hari ini dan akan berhubung terus dengan MCMC terkait hal tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Daryl Smith berkata, pihaknya akan kekal komited dalam mengangkat tema kepelbagaiaan dan perpaduan selain berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.
“Kami akui betapa besarnya kebimbangan dicetuskan akibat kekhilafan di Era terhadap sebahagian masyarakat yang dilayani.
“Fokus kami kini adalah untuk membina semula kepercayaan yang telah dipupuk sekian lama oleh ERA bersama para pendengarnya.
“Kami akan terus memberikan sokongan penuh kepada semua individu terlibat sambil beriltizam untuk berusaha belajar, menambah baik dan memastikan kandungan kami mencerminkan nilai-nilai saling menghormati dan terangkum,” kata Euan dalam satu kenyataan kepada media.
Hari ini, MCMC memutuskan bahawa lesen penyiaran Maestra Broadcast Sdn. Bhd, pengendali stesen radio Era FM tidak akan digantung.
Keputusan itu dibuat selepas meneliti rayuan syarikat berkenaan terhadap notis niat penggantungan lesen yang dikeluarkan pada 7 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE