fbpx

Penyamaran DOF Selangor bongkar penjualan 174 ikan alien

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ikan Baung Ekor Merah Amazon Albino

SHAH ALAM – Taktik penyamaran pegawai Jabatan Perikanan (DOF) Selangor sebagai pembeli berjaya membongkar penjualan ikan ‘alien’ secara haram dalam operasi di Petaling Jaya dekat sini, semalam.

Dalam operasi lebih dua jam bermula 12.30 tengah hari itu berjaya merampas 174 ikan larangan di dua buah premis.

Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, semakan mendapati modus operandi mereka adalah tidak mempamerkan papan tanda perniagaan di hadapan kedai bagi mengelak diperiksa pihak berkuasa.

Malah, katanya, pihaknya telah beberapa kali hadir ke premis itu bagi menjalankan pemeriksaan berkala namun gagal kerana shutter premis sentiasa tertutup.

“Premis diserbu selepas pihak kita membuat temujanji untuk hadir walk- in bagi membeli ikan. Premis ini didapati menjual ikan secara dalam talian.

“Bagi premis kedua pula dikatakan sebagai pengedar jualan ikan kepada premis-premis akuarium dengan pagar sentiasa ditutup dan penduduk sekitar juga mendakwa tidak tahu aktiviti yang dijalankan di dalam gudang tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, pihaknya telah cuba untuk memecah masuk premis namun pemilik segera hadir dan memberikan kerjasama untuk membuka premis bagi tujuan semakan.

Noraisyah menegaskan, hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa sitaan kepada 174 ekor pelbagai jenis dan saiz.

Pecahannya adalah 44 ekor dari spesis Pimelodidae seperti Baung Ekor Merah Amazon, Tiger Shovelnose Catfish dan 57 jenis Genus Cichla iaitu ikan Raja atau Peacock Bass.

“Selain itu, 33 ekor Genus Myleus iaitu pacu, seekor Arapaima bersaiz lebih 15 sentimer dan 39 ekor ikan Gar pelbagai saiz.

“Ikan-ikan tersebut dijual antara RM30 hingga RM300 bergantung kepada jenis dan saiz ikan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, larangan mengimport, menjual, memelihara, menyimpan dan mempamer ikan larangan adalah di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, DSB., Bagi Ikan) (Pindaan 2024).

“Kertas siasatan telah dibuka dan menunggu keputusan selanjutnya dari Timbalan Pendakwa Raya DOF ,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI