fbpx

Nelayan terjatuh laut semasa pukat ikan ditemui lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki itu dipercayai lemas empat ke lima hari sebelum ditemukan. Foto oleh PDRM

GEORGE TOWN – Seorang nelayan yang dilaporkan terjatuh dari sampan semasa melakukan aktiviti memukat ikan di perairan berdekatan Pulau Tikus di sini semalam ditemui lemas, pagi tadi.

Mayat lelaki berusia 59 tahun itu ditemukan di perairan 2.9 batu nautika utara Tanjung Bungah, kira-kira pukul 11.15 pagi, selepas hampir 24 jam dia dilaporkan hilang di laut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat mangsa dijumpai berpakaian baju sejuk berwarna hitam, berjalur merah dan seluar sukan warna hitam.

“Pemeriksaan badan si mati mendapati tiada sebarang kesan unsur jenayah berlaku dan pengecaman mayat mangsa telah dibuat oleh waris mangsa.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik di Hospital Pulau Pinang untuk di bedah siasat hari ini,” katanya di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang nelayan warga tempatan yang juga rakan mangsa berhubung kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.

“Mangsa sebelum itu dikatakan keluar ke laut bersendirian dengan menaiki sampan kira-kira pukul 7 pagi semalam. Bagaimanapun hanya sampan mangsa ditemui di perairan berkenaan,” ujarnya lagi.

Semalam, Kosmo! melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri memberi tumpuan terhadap operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa yang dikhuatiri lemas dalam kejadian berasingan di perairan Pulau Pinang.

Kejadian pertama melibatkan seorang pemuda berusia 33 tahun yang dilaporkan terjatuh dari Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang, kira-kira pukul 8 pagi semalam. Namun, sehingga berita ini ditulis, tiada sebarang makluman akan penemuan lelaki tersebut.

Kes kedua pula membabitkan seorang nelayan yang dipercayai terjatuh semasa memukat ikan di perairan berhampiran Pulau Tikus selepas orang awam menemui sebuah sampan miliknya ditinggalkan berhampiran lokasi mangsa terjatuh. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI