JAKARTA – Seorang remaja ditahan polis selepas menikam bekas teman wanitanya gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang memutuskan hubungan mereka, lapor laman berita Detik semalam.
Sebelum ini, sebuah video tular di laman sosial memaparkan suspek yang dikenali sebagai MNA, 19, menikam mangsa yang juga berusia 19 tahun di lokasi beli-belah Tanah Abang, Jakarta.
Dalam video tersebut, mangsa sedang berdiri di hadapan sebuah kedai sebelum suspek menghampirinya lalu menikam mangsa sebanyak tiga kali.
Ketua Polis Metro Tanah Abang, Asisten Komisioner Besar Aditya SP Sembiring berkata, suspek membuang pisau yang digunakan selepas menikam mangsa.
“Pisau dibuang di jalan ketika dia melarikan diri di sekitar Jalan KH Mas Mansyur,” katanya.
Tambah Aditya, motif di sebalik tikaman tersebut adalah rasa tidak berpuas hati kerana mangsa memutuskan hubungan mereka.
“Hasil siasatan mendapati, suspek nekad menikam mangsa kerana sakit hati ditinggalkan wanita itu,” katanya.
Sementata itu, mangsa dilaporkan cedera parah akibat tikaman tersebut dan sedang dirawat di hospital. – AGENSI