SEREMBAN – Satu lagi kejadian kereta melanggar lampu isyarat sehingga merempuh dua penunggang motosikal berlaku di Jalan Felda Sendayan, di sini, petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu turut dirakam kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan lain sehingga tular di media sosial yang menunjukkan sebuah kereta berwarna kuning melanggar dua penunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berumur 38 tahun, motosikal jenis Honda Dash yang ditunggang seorang wanita umur 21 tahun dan motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang seorang lelaki berumur 52 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati, ketika kejadian pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Bandar Sri Sendayan, menghala ke Nilai manakala kedua-dua penunggang motosikal dari arah Gadong ke Sendayan,” katanya di sini hari ini.
Jelas Abdul Malik, apabila tiba di lokasi kemalangan, kereta dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat bewarna merah manakala lampu isyarat di bahagian penunggang motosikal bewarna hijau.
“Akibat kemalangan itu, penunggang Honda Dash mengalami kecederaan parah manakala penunggang Yamaha LC mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk mendapatkan rawatan.
“Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012-9122198. – KOSMO! ONLINE