PUTRAJAYA- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka sebanyak 48 kertas siasatan terhadap premis pengilang dan pembungkus yang disyaki terlibat mencampur beras putih tempatan dengan beras import pada hari pertama pelaksanaan Ops Campur, semalam.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, menerusi operasi yang dijalankan itu, sebanyak 213 premis diperiksa dengan hampir 300 kampit beras yang disyaki dicampur telah disita untuk tindakan lanjut.
“Setakat semalam, kita telah membuat pemeriksaan ke atas 213 premis pembungkus dan juga kilang di seluruh negara dan membuka 48 kertas siasatan dengan melibatkan nilai rampasan sampel melebihi RM15,000.
“Sitaan ini bertujuan sebagai pensampelan dan penentuan kualiti yang akan dikemukakan kepada Jabatan Kimia Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi),” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Azman, Ops Campur dilancarkan di seluruh negara bermula semalam susulan pendedahan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Mardi berkenaan 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa didapati dicampur dengan beras putih tempatan.
Justeru, katanya, KPDN mengambil langkah segera dengan melaksanakan pemeriksaan ke atas beras tempatan dan import di peringkat pengilang.
Katanya, ia bagi memastikan aktiviti percampuran beras tersebut dapat dibanteras ke atas rantaian pembekalan yang terlibat.
“Menteri KPDN, Datuk Armizan Ali telah memulakan inisiatif untuk menyelesaikan masalah ini dengan mengadakan perjumpaan khas bersama dengan Mardi dan seterusnya mengarahkan Ops Campur dilaksanakan serta-merta,” katanya.- KOSMO! ONLINE